Wednesday, May 9, 2012

Sakit


1. Setiap penyakit atau musibah yang menimpa ke atas diri seseorang merupakan ujian daripada Allah SWT. Dengan sifat tabah dan sabar dalam menghadapinya serta perlu sentiasa mengingati Allah SWT akan dapat mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan kepadaNYA.

2. Penyakit dan musibah juga kadangkala merupakan peringatan kepada manusia supaya insaf daripada ingkar dan lalai agar kembali mentaati perintah Allah SWT . Setiap kesakitan, penyakit yang dihidapi, penawar (ubat) dan kesembuhan adalah daripada Allah SWT.

3. Terdapat ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah SWT dan menjadi penebus dosa-dosa terhadap manusia yang ditimpa penyakit atau musibah ini. Ada hadith-hadith yang menerangkannya sebagai motivasi kepada pesakit-pesakit agar bersabar dan terus beriman tanpa putus asa.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik RA:                                      
Terjemahannya : “ Berubatlah kalian wahai hamba-hamba Allah, kerana Allah SWT tidak menciptakan penyakit kecuali juga bersama ubatnya, melainkan satu penyakit sahaja iaitu tua. ”
( Hadith riwayat Ibn Majah )

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir RA:
Terjemahannya : “ Setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada suatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. ”
( Hadith riwayat Muslim )

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:
Terjemahannya : “ Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang muslim, kecuali dihapuskan Allah segala dosanya sekalipun kerana tercucuk duri. ”
( Hadith riwayat al-Bukhari )

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Terjemahannya : “ Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguji hambaNya dengan sesuatu penyakit dan kesakitan sehingga kesakitan itu akan menghapuskan darinya segala dosa. ”
( Hadith riwayat al-Hakim )

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Musa RA:
Terjemahannya : “ Apabila seseorang hamba itu ditimpa sakit atau bermusafir [sehingga tidak memungkinkannya beramal seperti biasa], maka akan dituliskan baginya pahala sebagaimana dia beramal ketika bermukim dan sihat. ”
( Hadith riwayat al-Bukhari )

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Terjemahannya : “ Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan untuknya[orang tersebut] nescaya akan ditimpakanNya dengan sesuatu kesusahan dan musibah. ”
( Hadith riwayat al-Bukhari )

4. Sungguh mulia orang-orang Islam yang sakit atau ditimpa musibah. Allah SWT menggalakkan orang-orang beriman yang lain supaya mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan kesembuhan kepada hambaNya itu. Sebagai perawat saya akan mendoakan pesakit sebagai ikhtiar untuk mendapatkan kesembuhan daripada Allah SWT, InsyaAllah... 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...